Anwar buat lawat mengejut, mahu pastikan tandas sekolah rosak dibaiki
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan hasratnya bagi memastikan semua tandas di sekolah mesti berada dalam keadaan baik untuk keselesaan pelajar bukan sekadar retorik.
Dalam kesibukan tugas menghadiri dan merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan, Anwar sempat meluang masa membuat lawatan mengejut ke dua sekolah di Sabak Bernam pada Selasa.
Dalam lawatan pertama, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi meninjau keadaan di Sekolah Rendah Agama Ehyaul Falah, sebelum bergerak ke program berkenaan.
Sebaik program yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu selesai, Anwar singgah mengejut selama 40 minit di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur.
Dalam kedua-dua lawatan itu Anwar memberi tumpuan untuk melihat keadaan infrastruktur keseluruhan sekolah seperti tandas dan kelas, selain memantau keadaan dan keselesaan murid menjalani sesi pembelajaran.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama murid dan guru, sebelum meninggalkan Sabak Bernam.
Terdahulu, dalam ucapannya pada program di Sekinchan, Anwar memaklumkan komitmennya untuk menambah baik infrastruktur asas di sekolah termasuk tandas.
Katanya, kerajaan sudah meluluskan peruntukan bagi tujuan itu dan mahu pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung memantau proses berkenaan dan segera melaporkan jika masih ada sekolah yang belum ditambah baik.
“Kita dah belanja tinggi. Di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjong Karang. Tengok saja sekolahnya, banyak tandas tak terurus, tandas rosak. Tandas ada empat, dua rosak.
“Jadi saya pergi tengok tandas (di Sekolah Rendah Agama Ehyaul Falah)… malam ini ceramah mereka (pembangkang) komen pula itulah kerja Perdana Menteri, inspektor tandas.
“Saya tak peduli, panggillah Anwar inspektor tandas. Saya bangga, Alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya saya kerja sampai di bawah,” katanya dihadapan 6,000 hadirin dalam kalangan pesawah, peladang dan nelayan.