Global

Malaysia diiktiraf negara terbaik dalam Indeks Peralihan Tenaga di Asia Tenggara

Malaysia diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga (Energy Transition Index) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

Indeks tersebut mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.

“Nilai ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, kementerian tersebut akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.

Peluncuran NETR Fasa 1 merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

“NETR akan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, pewujudan 23,000 peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

“NETR adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.

“Sasaran yang lebih tinggi dijangka dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu selain menarik syarikat multinasional, khususnya RE100 untuk beroperasi di Malaysia,” jelasnya.

Justeru, kementerian itu berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara, dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih dalam jangka masa panjang.

Related Articles

Back to top button