Anwar

Saya tak zalimi sesiapa, termasuk pembangkang – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan menzalimi sesiapa termasuklah individu daripada parti pembangkang.

Anwar berkata beliau tahu bagaimana kehidupan di dalam penjara dan tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri.

“(Kalau ikutkan) saya dikritik, sudah lama saya ambil tindakan. Kalau ikut kadang-kadang geram, saya dah perosok dalam lokap tetapi tidak boleh sebab negara ini negara hukum (ada undang-undang).

“Orang Pas ke, orang Bersatu ke, saya tidak akan zalimi kerana saya tahu apa dia sengsara duduk dalam penjara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Kampung Raja Musa yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri berkata demikian susulan pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, 48, di dua Mahkamah Sesyen Selayang pada Selasa atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lepas.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata anak muda perlu mempunyai kefahaman dalam memacu perubahan negara seperti yang dilaksanakan oleh sahabat Rasulullah, Ali bin Abi Talib yang memainkan peranan utama ketika peristiwa hijrah umat Islam dari Makkah ke Madinah.

“Anak muda bukan setakat pegang bendera, jerit-jerit. Ikut dengan kefahaman.

“Kalau tanya setuju, sokong Anwar atau Pakatan Harapan, Barisan Nasional, biar dengan kefahaman,” katanya.

Related Articles

Back to top button