Teknologi

Starlink kini boleh beroperasi secara rasmi di Malaysia

Sebagai usaha mengatasi isu rangkaian internet di institusi pengajian tinggi (IPT), kerajaan telah memberi lesen pemberi kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada Starlink.

Ia untuk syarikat itu menyediakan perkhidmatan internet satelit di negara ini, terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, perkhidmatan kendalian SpaceX yang diasaskan oleh usahawan teknologi terkemuka Elon Musk, akan bermula di institusi pengajian tinggi dan sekolah.

“Sekarang ini, 97% kawasan berpenduduk mempunyai akses internet. Untuk baki 3% pula, ada isu geografi lokasi seperti kawasan pedalaman atau pulau terpencil yang menjadi cabaran kepada pembinaan rangkaian,” kata Fahmi di Facebook.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan seminggu selepas pertemuan maya antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Musk tentang pelaburan ke Malaysia.

Tambahnya, kerajaan sedia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan internet satelit ke arah 100% akses di kawasan berpenduduk.

Terdahulu, Perdana Menteri selepas persidangan video secara maya dengan Elon Musk berkata, bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT.

Menurutnya, IPT diberi keutamaan oleh kerajaan selepas menerima aduan masalah capaian internet daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button