Semasa

Pesawat khas akan terbangkan jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Sebuah pesawat khas akan diterbangkan ke Alor Setar, Kedah bagi membawa pulang jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ke Johor Bahru, Johor untuk disemadikan di kampung halamannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban berkata, pihaknya telah mengatur penerbangan khas menggunakan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

“Saya telah menerima khabar duka ini kira-kira satu jam lalu daripada pegawainya dan saya telah aturkan untuk penerbangan khas membawa jenazah dari Alor Setar ke Johor Bahru.

“Pesawat MAS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam ini dan dijangka tiba di Alor Setar, pukul 1 pagi sebelum pesawat akan terus bergerak ke Johor Bahru,” katanya.

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP sementara itu berkata, kehilangan Salahuddin memberi kesan kepada kepada kepimpinan PH kerana Allahyarham disifatkan sebagai seorang pemimpin yang amat disayangi dan mempunyai prinsip perjuangan yang disegani.

“Beliau seorang pejuang dan pemimpin PH yang sangat disanjungi dan disayangi atas prinsip perjuangan yang tak pernah tinggalkan rakan dalam parti.

“Beliau juga telah melaksanakan tugas dengan cukup baik selain banyak inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat,” katanya.

Related Articles

Back to top button