Mahkamah

Menteri KDN pertahan kenyataan, sedia berdepan Sanusi di Mahkamah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan yang mengaitkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor .

Ia berhubung dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) yang disalahguna.

Pendirian itu dinyatakan melalui satu surat oleh firma guaman Nav & Co bertarikh 26 Julai yang mewakili Setiausaha Agung KEADILAN itu kepada peguam mewakili Muhammad Sanusi juga Menteri Besar sementara Kedah.

Surat dari peguam itu menyatakan bahawa kenyataan Saifuddin pada satu ciri ceramah 15 Julai lalu bukan bersifat memfitnah dan anak guam mereka masih berpegang pada kenyataan berkenaan.

“Anak guam kami menafikan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah atau mampu membawa sebarang implikasi fitnah.

“Anak guam kami tidak berniat untuk membicarakan perkara ini melalui surat-menyurat. Kami mempunyai arahan untuk menerima perkhidmatan proses undang-undang,” kata peguam Saifuddin.

Untuk rekod, Saifuddin sebelum ini menegaskan bahawa pendedahan dibuat berhubung isu kecurian REE dan isu Marris bukan untuk memburukkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujudnya isu penyelewengan dalam pentadbiran pemimpin Pas itu.

Sanusi pada 16 Julai lalu menyatakan hasratnya untuk mengambil tindakan saman terhadap Saifuddin berhubung kenyataan dilontarkan itu.

Pada 21 Julai, Sanusi dilaporkan berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Saifuddin berhubung isu tersebut.

Related Articles

Back to top button