Nasional

Peranan dan sumbangan pentadbiran tanah penting sebagai pemudah cara pelbagai urusan – Nik Nazmi

Peranan dan sumbangan warga pentadbiran tanah amat penting sebagai pemudah cara bagi pelbagai urusan berkaitan serta turut membantu dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mencapai kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan infrastruktur berimpak tinggi, seperti projek East Coast Rail Link (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo serta tapak kemudahan awam, seperti sekolah dan hospital yang melibatkan urusan pengambilan tanah.

“Dalam aspek peningkatan kecekapan Pejabat-Pejabat Tanah di Semenanjung Malaysia, saya berbangga dengan pencapaian 90.08 peratus urusan perserahan pindah milik tanah berjaya didaftarkan dalam tempoh satu hari pada tahun 2022 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Tanah Negara 2023, hari ini.

Pada masa sama beliau mengharapkan, menerusi peluasan projek e-Tanah di negeri, ia akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan urusan lain berkaitan tanah.

“Dalam jangka panjang, saya percaya peningkatan kecekapan ini juga, akan menyumbang kepada peningkatan di peringkat negeri khususnya.

“Sumbangan warga pentadbiran tanah ini membentuk momentum perubahan yang dirasai oleh rakyat Malaysia, sesuai dengan tema sambutan Hari Tanah Negara 2023 iaitu ‘Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Malaysia Madani’,” katanya.

Sambutan Hari Tanah Negara yang disambut pada 27 Julai setiap tahun, bertujuan untuk menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh Malaysia dalam memastikan pentadbiran tanah sentiasa relevan serta selari dengan arus perdana pembangunan negara.

Related Articles

Back to top button