Kebebasan media perlu diangkat dan diperkasa – PM Anwar
Perdana Menteri mahu kebebasan media di negera ini diangkat dan diperkasakan bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan berita dan maklumat yang adil dan benar.
Bercakap dalam ucapan peluncuran inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ pada Khamis, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu juga dapat menangani semua jenis pembohongan jahat dan berita palsu yang boleh menyemai perpecahan dan ketidakpercayaan.
Selain itu, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk melaksanakan tatakeloka yang baik bagi mengembalikan keyakinan semua pihak dan ia hanya akan berhasil dengan dukungan dan kepercayaan semua pihak terhadap kerajaan.
Tegasnya, menerusi tatakelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan yang tangkas disokong dengan pembaharuan struktur sistem dan institusi negara dapat bergerak ke sasaran yang ingin dicapai.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Dewan Rakyat juga perlu diberi peranan yang lebih luas selaras dengan reformasi Parlimen yang diusahakan sejak 2018.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah dibentuk dan peranan mereka dalam perundangan dan pengawasan akan ditetapkan melalui pindaan kepada Peraturan Tetap.
“Kerajaan juga telah memperkenalkan Sesi Pertanyaan Perdana Menteri untuk membolehkan interaksi secara langsung antara Perdana Menteri dengan Ahli Yang Berhormat kerajaan dan pembangkang,” kata Anwar.
Selain itu jelasnya kerajaan pimpinannya akan terus bekerjasama dengan Parlimen, termasuk cadangan pemansuhan sebarang akta yang mungkin mempunyai tujuan pada masa lalu tetapi kini sudah lapuk malah bercanggah dengan hasrat Malaysia Madani.