‘Dulu pun dia kata boleh menang’, Anwar sindir Mahathir
Kenyataan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menaruh keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan dikritik.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahathir ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu juga optimis bakal menang besar, namun hakikatnya Mahathir tewas teruk hingga hilang wang pertaruhan
“Itu tekaan dia (Mahathir). Masa bertanding di Langkawi (sewaktu PRU15), dia kata akan menang besar, (bagaimanapun) apabila bertanding dia hilang deposit,” katanya.
Mahathir ketika berucap pada Perhimpunan Hari Perniagaan Sosial Ke-13 di Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi, Kedah pada Jumaat meramalkan PN akan menang mudah.
Gabungan disertai Pas-Gerakan dan Bersatu itu menurutnya mempunyai potensi baik untuk mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu, Kedah dan merampas Selangor serta Negeri Sembilan namun tidak dapat menembusi Pulau Pinang.
Mahathir mendakwa, ramalam itu berdasarkan perubahan sentimen yang diperlihatkan daripada kalangan pengundi yang lanjut usia, khususnya orang Melayu di luar bandar.
“Mereka lihat kedudukan (ekonomi) tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan,” katanya.
Sebagai rekod, Mahathir merupakan Perdana Menteri untuk lebih 22 tahun sebelum bersara pada 2003.
Dia dikritik kerana didakwa sering menggunakan sentimen Melayu terancam apabila dirinya kehilangan kuasa, namun sering membuat kenyataan menyalahkan orang Melayu ketika berkuasa