Semasa

PM Anwar menghadap Sultan Mizan, sembah maklum perkembangan semasa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, Terengganu pada Jumaat.

Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Mizan atas perkenan menerima beliau menghadap.

Beliau memaklumkan telah menyembah maklum kepada Sultan Mizan berhubung perkembangan di pihak kerajaan.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyembah maklum perkembangan terkini pembangunan negara dan negeri Terengganu termasuk peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat,” katanya.

Melalui hantaran saa, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendoakan semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

Anwar dalam lawatan kerjanya semalam hadir menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, Terengganu.

Beliau juga sempat meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan jemaah sebelum makan tengahari di pekarangan masjid.

Perdana Menteri kemudian hadir merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah bandar Al Muktafi Billah Shah, di Dungun.

Related Articles

Back to top button