Semasa

Pengumuman inisiatif kerajaan bukan rasuah

Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu tiada kena mengena dengan pilihan raya negeri (PRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pengumuman tersebut dibuat Ahmad Zahid sebelum penamaan calon.

Malah menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan tidak sepatutnya menghalang kerja-kerja kerajaan.

“Ada orang cadang jangan buat pengumuman langsung mengenai peruntukan itu namun tidak boleh kerana saya adalah Perdana Menteri, perlu jaga negara dan semuanya. Kalau penting, maka kita umum.

“Ini program sudah tiga bulan. Bila saya umum, kerana permohonan kementerian itu sudah lama jadi kita umumkan semasa hari pengguna,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.

Semalam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki turut menegaskan pemberian geran itu bukanlah satu bentuk rasuah.

Azam menegaskan bahawa pihaknya melihat pemberian itu dari kementerian di peringkat Persekutuan yang boleh mengumumkan apa-apa inisiatif yang sudah diluluskan terbelih dahulu.

“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya dipetik laporan Sinar.

Related Articles

Back to top button