RUU berkaitan konservasi tenaga dibentangkan Oktober ini
Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang yang dijadual bermula 9 Oktober ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebaik sahaja akta itu berkuat kuasa, ia akan menjadi rangka kerja perundangan dan kawal selia yang menggalakkan kecekapan tenaga di negara ini.
“Ia akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen tahun ini. Kami berharap sekurang-kurangnya ia diselesaikan hingga bacaan kedua,” katanya.
Nik Nazmi sebelumnya ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Bangunan Hijau Antarabangsa 2023 di Petaling Jaya.
Sementara itu jelasnya, ketika ini negara tidak mempunyai sebarang bentuk perundangan berkaitan kecekapan tenaga, dan RUU itu disifatkan sangat penting.
“Ia komponen penting untuk objektif sifar-bersih (pelepasan sifar bersih) kita kerana sifar bersih bukan sahaja bermaksud tenaga boleh diperbaharui (RE), tetapi ia juga kecekapan tenaga (EE).
“Apabila anda lebih cekap anda akan menggunakan kurang tenaga dan kurang keperluan untuk membina loji kuasa yang baharu, yang merupakan bahagian penting dalam persamaan (keseimbangan antara jumlah gas rumah hijau (GHG) yang dihasilkan dan jumlah yang disingkirkan daripada udara),” tambahnya.
Draf RUU pada Mac lepas berada di peringkat kajian dan akan dimuktamadkan sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada Kabinet.