Politik

Kerjasama komprehensif dipamerkan BN-PH mampu tawan hati pengundi

Kerjasama komprehensif dipamerkan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) di bawah kerajaan perpaduan pastinya menjadi titik tambah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kali ini.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata, kerjasama ditunjukkan gabungan itu merupakan “model politik baharu” yang mampu merubah senario pengundian pada Sabtu ini.

“Kerjasama antara PH dan BN merupakan model politik baharu. Kita yakin akan dapat keputusan yang jauh berbeza daripada PRU15 yang lalu.

“Macam model politik Perikatan Nasional, dia tidak kekal dan bertukar-tukar,” katanya dipetik laporan Bernama.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya bagi parti Amanah melihat calon-calon diketengahkan parti itu di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan mampu meraih kemenangan.

Ia jelasnya berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang yang dipamerkan parti itu di negeri berkenaan.

“Saya selaku pengarah pilihan raya Amanah rasa Amanah cukup berpotensi di Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang tapi mungkin ada satu atau dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang persaingan dia agak besar, (tapi) saya fikir boleh diselesaikan dengan kerjasama dengan BN,” katanya.

Adly berkata, Amanah turut berbesar hati dengan kepercayaan diberikan kepada parti itu di tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

“Contohnya DUN Kuala Nerang, Kedah yang dulunya kubu kuat Umno kini diserahkan kepada calon Amanah untuk meneruskan perjuangan di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pengundian awal PRN di enam negeri Selasa ini (8 Ogos), Adly yang juga timbalan menteri pertahanan menyeru agar 49,660 anggota tentera bersama pasangan masing-masing keluar mengundi di 260 pusat mengundi awal.

“Semua (anggota tentera) diberi ruang (undi awal)…tiada masalah. Saya fikir peratus undi awal (anggota pertahanan) akan kekal tinggi,” katanya.

Related Articles

Back to top button