Pentadbiran Anwar beri Kelantan lebih peruntukan berbanding zaman Muhyiddin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan dibuat Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman kononnya kerajaan Persekutuan pimpinannya meminggirkan Kelantan.
Sebaliknya jelas Anwar, peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan terhadap negeri itu adalah lebih tinggi berbanding semasa pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Itu pandangan yang tidak mengikut fakta. Saya sudah bagitahu peruntukan Kelantan paling tinggi (iaitu) untuk tebatan banjir, bantu bagi air bersih, pembangunan negeri.
“Peruntukan yang diberikan Kerajaan Perpaduan sekarang, lebih banyak berbanding Pas dan Bersatu berikan dalam kerajaan sebelum ini.
“Di mana dia kata anak tiri?” katanya selepas berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di sini pada Khamis.
Terdahulu Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dalam sesi jawapan semasa debat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Rabu berkata, punca utama Kelantan masih menjadi negeri miskin ialah disebabkan isu ‘federalisme’.
Sementara itu, Anwar turut menasihati Mohd Syahir sebagai pemimpin muda untuk lebih berani menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi partinya selain memberikan cadangan penambaikan.
“Semua cadangan yang penting untuk Kelantan saya telah terima. Beliau sebagai pemimpin muda sepatutnya lebih berani menyelesaikan masalah dalaman parti,” ujarnya.