Semasa

Sanusi digesa jelaskan isu eksplorasi REE di Kampung Bendang Man

Kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri Kedah didakwa tidak hanya berlaku di kawasan milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik seperti didedahkan sebelum ini.

Sebaliknya menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kecurian bahan berharga itu turut berlaku di satu lagi kawasan milik anak syarikat kerajaan negeri (GLC) tersebut di Kampung Bendang Man, Sik.

Tanpa mendedahkan bila kecurian itu berlaku, Saifuddin berkata, beberapa tangkapan telah dilakukan oleh pihak berkuasa dengan lima guni REE turut dirampas daripada pihak disyaki terlibat.

“Kejadian terbaru ini berlaku di luar kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang iaitu di dalam Ladang MBI Kedah – Felcra Bhd. di Kampung Bendang Man.

“Saya difahamkan atas nama eksplorasi, telah dikeluarkan hampir lima guni lagi REE dari kawasan itu.

“Pihak polis sudah mengambil tindakan dan ada tangkapan dilakukan selain rampasan lima guni REE. Berapa ramai yang ditahan setakat ini, itu kena tanya polis,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KEADILAN negeri Kedah dekat Alor Setar pada Khamis.

Susulan pendedahan terbaharu itu, beliau mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Pengerusi MBI memberi penjelasan mengapa Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Muhamad Sobri Osman boleh mengeluarkan surat bertarikh 3 Mei 2023 kepada Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. untuk masuk ke tanah milik mereka di Kampung Bendang Man itu dengan tujuan melakukan penerokaan.

“Lesen eksplorasi ini diberi tetapi siapa dalam syarikat itu yang terdiri daripada ahli geologi profesional? Siapa yang memperakuinya dan apa keperluan membawa keluar sampai lima guni REE dari kawasan itu?

“Berapa banyak sampel nak ambil dan berapa banyak lagi surat kebenaran akan dikeluarkan MBI Kedah untuk lesen pengambilan sampel? Sanusi kena tanya perkara ini kepada CEO MBI,” ujar beliau lagi.

Related Articles

Back to top button