Najib dapat pembebasan awal pada 23 Ogos 2028 – Lembaga Pengampunan

Hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dikurangkan sebanyak 50 peratus oleh Lembaga Pengampunan.
Urusetia Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan berkata, hukuman penjara beliau dikurangkan kepada enam tahun dari 12 tahun yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
Ekoran itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
“Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
“Oleh yang demikian, beliau (Najib) dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028,” menurut kenyataan itu.
Manakala, denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta pula dikurangkan kepada RM50 juta.
“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” kata kenyataan itu.
Pada 29 Januari 2024, kertas pengampunan permohonan Najib telah dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang telah dipengerusikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.



