Pilihanraya

Suhaizan dan Nazri dinamakan sebagai calon PH bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat dinamakan sebagai calon calon parti itu mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.

Manakala Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, diumum calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengumuman itu dibuat Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas ia diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, 17 Ogos lalu untuk dimuktamadkan.

“Calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram, Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suhaizan, 50 merupakan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH)

Beliau selain berpengalaman sebagai Speaker DUN Johor (2018-2020), beliau juga merupakan bekas pensyarah UTM dan merupakan usahawan dalam bidang Petroleum & Pertanian.

Beliau pemegang ijazah Sarjana Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain itu, dalam politik beliau memegang jawatan sebagai Ketua AMANAH Kawasan Pulai, Pengurus Pusat Khidmat Parlimen Pulai, Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor, dan Pengarah Nasional Biro Pembangunan Sumber Manusia, Parti Amanah Negara

Bagi N13 Simpang Jeram, Nazri, 56, merupakan seorang Jurutera MPM yang sudah berkhidmat selama lebih 30 tahun.

Pendidikan Tertingginya adalah Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Selain memegang jawatan Timbalan Ketua Kawasan Bakri, beliau juga merupakan Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram, dan AJK Masjid Al Munir.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Allahayarham, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam akibat pendarahan otak.

Related Articles

Back to top button