PM Anwar berharap kehadiran tahun baharu bawa suasana positif untuk rakyat

Perdana Menteri, mengharapkan kedatangan Tahun Baharu 2024 akan memberi suatu suasana lebih cerah dan positif kepada rakyat.
Melalui perutusan bersempena kehadiran tahun baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan akan menumpukan usaha terhadap pembangunan ekonomi demi kesejahteraan mereka.
Tambahnya, usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara ini akan terus menjadi tumpuan kerajaan bagi meredakan kesusahan rakyat daripada pelbagai aspek seperti inflasi, pengangguran dan kos sara hidup, selain menjamin perkhidmatan mutu pendidikan dan kesihatan.
BACA LAGI: Kepimpinan di bawah PM Anwar konsisten perjuang isu rakyat Palestin
Dalam hal itu, Anwar menggesa Jemaah Menteri, barisan pegawai kanan, agensi penguat kuasa, badan keselamatan, penjawat awam serta sektor swasta supaya meningkatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat dan gagah di rantau ini.
“Kita melabuh tirai menutup tahun 2023, wajar saya mulakan dengan memberikan sedikit rumusan mengulangi apa yang telah disampaikan kepada umum bahawa kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan kepada empat peratus.
Ini antara terbaik, tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan, umpamanya penurunan inflasi kurang daripada dua peratus, penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah,” katanya menerusi satu perkongsian video.