Sukan

Menteri saran syarikat korporat minat taja LTdL umum penajaan secepat mungkin

Mana-mana syarikat korporat yang berminat untuk menaja perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 disarankan agar memberi keputusan penajaan secepat mungkin.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata ini berikutan perlumbaan berbasikal bertaraf antarabangsa itu akan berlangsung dalam tempoh hanya sebulan lagi iaitu dari 23 hingga 30 Sept ini.

Jelasnya, walaupun LTdL menerima peruntukan daripada kerajaan untuk membantu penganjur, sokongan daripada syarikat korporat amat penting bagi memastikan penganjuran perlumbaan berbasikal antarabangsa itu berjalan lancar.

“Kita dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan penajaan (untuk LTdL) dengan beberapa syarikat dan kita dah tak banyak masa. Jadi, kita minta syarikat-syarikat ini cepat buat keputusan dalam membantu kita.

“Saya tidak mahu beri tarikh akhir bila mereka boleh beri jawapan sebab kalau masuk sehari sebelum LTdL (berlangsung), saya tetap akan terima sebab kita betul-betul perlukan tajaan,” katanya selepas melancarkan pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) di Putrajaya pada Ahad.

Bulan lepas, Hannah memaklumkan pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan LTdL 2023 berlangsung dalam suasana meriah menerusi peruntukan RM8 juta yang diluluskan Kabinet.

LTdL 2023 akan melibatkan laluan di 11 negeri di Semenanjung kecuali Perlis dengan perlumbaan lapan peringkat, bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur.

Sementara itu, MPC yang dilancarkan semalam adalah pasukan berbasikal yang dijenamakan semula daripada Team Sapura Cycling (TSC) yang dibubarkan bulan lalu.

MPC bakal dianggotai 70 peratus muka lama dengan 30 peratus lagi dipilih daripada kalangan pelumba muda untuk menggalas cabaran meraih keputusan positif kelak.

Pasukan itu kini berpaksikan model perniagaan dan prestasi pasukan supaya tidak lagi berhadapan masalah kewangan hingga menjejaskan penyertaan mereka ke kejohanan akan datang.

Related Articles

Back to top button