Nasional

MOSTI sasar Malaysia berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang 2025

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meletakkan sasaran agar Malaysia berada dalam kedudukan ke-20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang tahun 2050.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bagi mencapai matlamat tersebut MOSTI sentiasa memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat awal lagi.

“Kita memerlukan perubahan signifikan termasuk kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan selain berjiwa besar. Sains sering disebut subjek sukar atau susah dan ini cabaran perlu ditangani semua pihak,” katanya berucap merasmikan Kembara Sains Borneo Siri Satu, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2022, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan 45.2 peratus kepada 40.94 peratus.

“MOSTI komited menjadikan sains sebagai topik menarik untuk setiap individu tanpa mengira usia. Bagi menyokong komitmen MOSTI dalam Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi serta mengarus perdanakan inovasi, Minggu Sains Negara (MSN) kini dilaksanakan bermula April sehingga November 2023.

“Program seperti Kembara Sains Borneo ini menyokong pelaksanaan MSN sebagai sebuah program turun padang untuk mendekatkan orang ramai dalam meneroka pelbagai topik berkaitan sains. Sesungguhnya sains itu menarik dan mudah difahami,” katanya.

Arthur berkata MOSTI menekankan subjek berkaitan STEM menyediakan peluang pekerjaan yang besar di masa hadapan, justeru beliau menyeru ibu bapa dan guru memainkan peranan proaktif dalam membantu usaha kerajaan menggalakkan pelajar memilih aliran berkaitan STEM.

“Kementerian mengalu-alukan kerjasama oleh rakan-rakan strategik dalam usaha untuk menarik minat para pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di samping memberikan pendedahan awal kepada mereka untuk bersedia bagi perancangan kerjaya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button