Tindakan PM Islamkan saudara baru tak wajar jadi polemik – Nik Omar
Tindakan PM mengislamkan saudara baru sesuai sifat seorang pemimpin Islam, kata Nik Omar Nik Aziz.
Anak bekas mursyidul am PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kritikan segelintir pihak yang mempertikai tindakan Anwar secara terbuka mengislamkan seorang pemuda di Masjid India Klang, baru-baru ini.
“Satu amalan terpuji, mereka yang terlibat sehingga seseorang hamba Allah SWT mendapat hidayah-NYA amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
“Yang penting tiada unsur paksaan, keinginan itu lahir dari setiap individu yang ingin kembali kepada fitrahnya.
“Sesuai dengan sifat Islam, sistem hidup ciptaan pencipta manusia,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Justeru tambah Nik Omar, perbuatan terpuji itu tidak perlu dipolemikkan apatah lagi pengislaman itu berlaku tanpa paksaan.
Terdahulu hari ini, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Klang, Hushim Salleh, tampil memberi penjelasan berhubung tindakan perdana menteri yang mengislamkan seorang pemuda India di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, baru-baru ini.
Menurutnya, perkara itu berlaku bukan dengan perancangan sebaliknya secara spontan apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.