Semasa

Vincent Tan tuntut Sanusi minta maaf, bayar pampasan RM200 juta

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Berjaya Land dalam kenyataan pada Isnin berkata, satu surat tuntutan telah dikemukakan kepada Muhammad Sanusi melalui firma guaman mewakili Vincent Tan dan pihaknya pada Sabtu.

Melalui surat tuntutan itu, mereka menuntut semua kenyataan defamasi dalam ucapan Menteri Besar Kedah yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land ditarik balik tanpa syarat

Kedua, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat berhubung ucapan itu mengikut terma pihak guaman untuk diterbitkan dengan serta-merta oleh Muhammad Sanusi di platform ditentukan pihak sama.

“Ketiga, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi tidak akan mengulangi penerbitan dan ucapan mengenai kenyataan dalam ucapan berkenaan Vincent Tan dan Berjaya Land.

“Keempat, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi dengan segera menghentikan dan tidak akan melanjutkan penerbitan, ucapan, penulisan, perkongsian, pengedaran semula, penyiaran semula atau perkongsian semula dengan apa cara sekalipun mengenai kenyataan dan perkataan dalam ucapan itu.

“Kelima, bersetuju membayar pampasan RM200 juta kepada Vincent Tan dan Berjaya Land. Jika Muhammad Sanusi gagal mematuhi tuntutan terbabit menjelang 8 Ogos 2023 (esok), tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Terdahulu, Sanusi menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Fitnah jahat itu didakwa dibuat pada ‘Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’, 2 Ogos lalu.

Vincent Tan turut dipetik dalam kenyataan itu dengan berkata kenyataan defamasi itu mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land

Menurut syarikat itu, Vincent Tan dan Berjaya Land juga membuat beberapa laporan polis terhadap Muhammad Sanusi, selain beberapa blogger seperti Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan defamasi terhadap projek SMG.

Related Articles

Back to top button