Semasa

Bentuk perpaduan, semai rasa sayang antara kaum – Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru barisan kepimpinan negara agar berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar semua keputusan perancangan pembangunan bagi tujuan itu dilaksana dengan cepat dan tepat.

Titah bersempena ulang tahun kemerdekaan ke-66 negera turut menekankan hasrat baginda untuk melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi.

Untuk rakyat di negara ini, baginda turut menyampaikan titah melalui hantaran sama, menyeru seluruh rakyat  menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme, serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa di Malaysia.

Baginda mahu semangat tersebut dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Titah baginda apabila sekalian rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

Related Articles

Back to top button