Kemerdekaan perlu dipertahankan, Malaysia mesti jadi negara hebat – PM Anwar
Perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara penting bagi menjayakan usaha menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui amanat Hari Kebangsaan 2023 yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan dan media sosial pada Rabu.
Menurut Anwar, hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan golongan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional dan mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia.
“Antara cita dan harapan, negara harus bersatu dan merangka Ekonomi MADANI yang mampan serta jaminan keadilan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Mari kita manfaat waktu yang ada di sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat kita dan yakinlah negara ini bukan biasa. Negara ini punya hasil-mahsul yang hebat melimpah ruah,” kata Anwar
Beliau berkata begitu dihadapan 7,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya yang turut dihadiri imbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil penduduk dan pelajar sekolah menghadiri majlis penyampaian amanat tersebut.
Selain itu jelas Anwar, antara syarat utama mencapai aspirasi negara dengan memastikan “merdeka rakyat” iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.
Selain itu jelasnya, semua peringkat rakyat di negara ini perlu berjiwa merdeka dengan menolak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut keuntungan peribadi yang merugikan negara.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengingatkan, selepas prestasi negara mendatar sejak 20 tahun lalu, penyertaan dan perpaduan setiap penting dalam memastikan Malaysia muncul kembali sebagai sebuah negara yang hebat pada abad ini.
“Kita kena pertahan semangat bahawa negara ini milik semua rakyat. Kesatuan dan perpaduan ini (perlu) dipupuk untuk dijamin masa depannya mulai sekarang.
“Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat tanpa ada golongan yang tersisih dan terpinggir,” kata beliau yang turut memberi jaminan akan mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini tanpa ada yang dipinggirkan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan .
Perdana Menteri sementara itu mengingatkan seluruh rakyat Malaysia peri pentingnya kemerdekaan yang dikecapi negara sejak enam dekad lepas dengan berkata cabaran dihadapi masa kini adalah untuk rakyat bersama-sama mengekalkan keamanan dan kemerdekaan.