Politik

Berhenti bohong kononnya orang Melayu dan Islam terancam

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangkang berhenti menipu rakyat dengan mendakwa kononnya hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam kini berada dalam kedudukan terancam.

Dalam ucapannya di Ceramah Mega Perpaduan MADANI Pilihan Raya Kecil (PRK) N13 Simpang Jeram di Sungai Abong dekat Muar malam tadi, Anwar berkata tiada mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan dipimpinnya mempersoal hak orang Melayu dan kedudukan Islam yang telah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah tegasnya, sekiranya prinsip-prinsip itu dipersoal parti gabungan dalam kerajaan, beliau sama sekali tidak mahu terus menjadi Perdana Menteri.

“Siapa yang boleh pertikai kepimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, tidak ada.

“Kawan-Kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai,” katanya sambil menegaskan tindakan menggunakan isu terbabit untuk menakut-nakutkan orang Melayu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Pada ucapannya juga Anwar berkata, orang Melayu sudah banyak kali dimomokkan dengan dengan janji dan slogan yang kononnya menekankan ‘Islam dan Melayu’ namun parti pembangkang, ketika menjadi pemerintah sebelum ini, tidak melakukan sebarang perubahan.

“Adakah Islam ditegakkan dengan lebih baik, adakah rasuah berkurangan, adakah amalan sakau harta rakyat berkurangan, tidak ada, yang banyak hanya slogan,” katanya

Pada program ceramah itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut merayu penduduk Simpang Jeram memberi sokongan padu kepada Nazri Abdul Rahman sebagai calon mewakili kerajaan untuk menjadi wakil rakyat bagi menguatkan lagi kerajaan negeri sekali gus membantu mempermudah usaha memacu pembangunan di kawasan itu.

“Pastikan Nazri menang selesa. Angkat Nazri biar dia kerja, biar kita pantau, biar dia pastikan Johor dan Kerajaan Persekutuan bantu orang di Simpang Jeram,” katanya.

Related Articles

Back to top button