Negeri

Dr Zaliha persembahkan cadangan pembinaan HSA2 kepada Sultan Johor

Cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) telah dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Ia dipersembah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika menghadap baginda Sultan Ibrahim di Istana Polo, Pasir Pelangi di Johor Bahru pada Isnin.

Berangkat sama dalam pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu, Dr Zaliha turut mempersembahkan perancangan kerja-kerja naik taraf beberapa kemudahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM500 juta bagi projek pembangunan fasa pertama infrastruktur di HSA merangkumi pembinaan parkir bertingkat dan blok baharu di hospital itu.

Cadangan pembinaan HSA2 pula dijangka akan melibatkan kawasan seluas 70 ekar di Taman Nesa, Skudai bagi mengatasi kesesakan di dua hospital di bandar raya ini iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim amat menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan dan kemudahan hospital kerajaan di negeri ini.

Related Articles

Back to top button