Uncategorized

Muhyiddin tiada kuasa keluarkan sebarang fatwa

Kerajaan Negeri Johor meminta semua pihak termasuk ahli politik tidak membuat sebarang kenyataan memecah belah masyarakat dan mengelirukan termasuk membabitkan fatwa.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan di negeri itu fatwa hanya boleh ditetap oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Fatwa jawapan hukum bagi pelbagai situasi yang berlaku sama ada situasi yang sedia ada atau situasi baru.

“Sesuatu fatwa dinisbahkan atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubung dengan hukum syarak.

“Fatwa boleh dibuat dan diputuskan sama ada atas perintah Sultan Johor dan boleh dibuat atas kehendak jawatankuasa fatwa itu sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada mufti seperti digariskan di dalam Fasal 47 Enakmen.

“Oleh yang demikian, tiada mana-mana pihak yang layak mengeluarkan sebarang hukum dalam urusan beragama di negeri ini” katanya.

Kenyataan itu menyusul kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjatuhkan hukum ‘haram’ bagi mereka yang mengundi calon PH, Suhaizan Kayat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Tindakan Muhyiddin itu kemudian diselar banyak pihak kerana dilihat mempermain hukum agama demi mendapatkan sokongan politik.

Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, tiada sesiapa atau mana-mana individu pun di Johor layak mengeluarkan atau mengumumkan fatwa secara membuta tuli.

Katanya, ia sama ada secara peribadi atau mewakili mana-mana pertubuhan.

“Semua pihak wajar sentiasa menjaga adab dan perpaduan sesama umat Islam dan seluruh masyarakat di Johor.

“Agama Islam di Johor kekal dimartabat, bahkan diimarahkan pensyariatannya dengan pengembangan dakwah serta syiar Islam yang berterusan di bawah naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar,” katanya melalui kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button