Mahkamah

Dr Mujahid saman Ahmad Dasuki, dakwa memperlekeh mahkamah

NAIB PRESIDEN Parti AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil tindakan undang-undang saman RM1 juta terhadap penceramah bebas,Ahmad Dusuki Rani.

Mujahid yang juga bekas Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, tindakan undang-undang itu diambil selepas bekas pimpinan Dewan Ulama PAS berkenaan secara berterusan mengeluarkan fitnah terhadapnya.

Kenyataan berunsur fitnah itu jelasnya dikeluarkan susulan kekalahan Dusuki dalam saman fitnah terhadapnya sebelum ini.

“Saya juga mendapati kenyataan Dusuki mempunyai unsur penghinaan kepada mahkamah apabila dia dilihat bukan saja mempertikaikan, malah memperlekehkan serta memutarbelitkan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Oleh itu peguam saya iaitu Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir hari ini mengeluarkan notis tuntutan kepada Dusuki bagi memadamkan kenyataan fitnah berkenaan dalam tempoh 48 jam kerana ia mengelirukan orang ramai.

“Berhenti memberikan kenyataan berunsur fitnah dan mengelirukan terhadap saya serta membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu Mujahid dalam kenyataan sama menambah peguamcaranya turut mengeluarkan notis semalam bagi menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000 dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya dia gagal mematuhi tuntutan, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina mahkamah,” katanya.

Related Articles

Back to top button