Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: SPR tetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini manakala undi awal pula dijadualkan pada 2 Julai depan.

“Sejumlah 39,279 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2.1 juta,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK pada Khamis.

Menurutnya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara telah dibuka sekarang melalui laman sesawang www.spr.gov.my.

“Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A adalah 20 Jun manakala kategori 1B dan 1C masing-masing pada 13 Jun,” katanya.

Tambahnya, kategori 1A merujuk kepada petugas SPR, anggota polis, tentera dan media.

Manakala warganegara yang berada di luar negara adalah kategori 1B sementara 1C bagi agensi dan organisasi.

Jelas Azmi, Dewan Serbaguna Jawi yang terletak di Jalan Serindit, Taman Desa Jawi akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak sembilan buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 saluran dan satu tempat pengundian awal akan digunakan,” ujarnya.

Difahamkan, PRK kali ini merupakan PRK ke-8 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Related Articles

Back to top button