Pilihanraya

Kemenangan PH di Pulai, Simpang Jeram isyarat pengundi mahu kestabilan – Suhaizan

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menafikan persepsi yang mendakwa kemenangan beliau dan Nazri Abdul Rahman di Dewan Undangan Simpang Jeram kerana ‘undi simpati’.

Ditemui pemberitan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Johor Bahru malam tadi, bekas Speaker DUN Johor itu menegaskan ia sebuah kemenangan yang meyakinkan termasuk di kerusi Parlimen Pulai yang menyaksikan beliau memperoleh lebih 18,000 majoriti.

“Kalau dibandingkan dengan majoriti yang lepas memang lah kecil, tetapi PRK ini peratusan keluar undi yang kecil, sekitar 47 peratus berbanding yang lepas.
“Jadi saya rasa ini satu majoriti yang meyakinkan.

“Saya kira begini yang kita terangkan kepada pengundi adalah kepentingan Kerajaan Perpaduan itu. Kenapa rakyat perlu mengundi dan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan, dan dengan kestabilan itu akan mewujudkan keadaan dalam negara yang lebih baik, ekonomi yang baik dan pelabur-pelabur akan datang ke negara kita.

“Saya kira bukan simpati lah tetapi lebih kepada keperluan untuk kestabilan negara,” katanya dipetik.

Pengundi parlimen Pulai pada Sabtu memilih Suhaizan sebagai wakil rakyat mereka. Beliau memperoleh 48,283 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti undi 18,641.

Sementara, Nazri yang bertanding di DUN Simpang Jeram pula menang bergaya dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi menewaskan calon PN Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi dan calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.

Related Articles

Back to top button