Anwar

Malaysia komited kekalkan 50 peratus kawasan berhutan selaras Sidang Kemuncak Rio De Janeiro 1992

Negara komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan, selaras dengan Sidang Kemuncak di Rio De Janeiro pada 1992.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu juga sejajar dengan dasar pelupusan tanah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), selaku penyedia perkhidmatan elektrik negara.

Menurutnya, ia dilakukan tanpa mengetepikan kuasa diperuntukkan Perlembagaan kepada Pihak-Pihak Berkuasa Negeri.

“Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 (MTN-80) juga bersetuju dengan keputusan Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang melibatkan kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

“Ia turut meliputi syarat kelayakan penyediaan dan perakuan Laporan Carigali dan Penjelajahan hanya oleh Ahli Geologi Berdaftar, Ahli Geologi Asing Berdaftar, Pengamal Berdaftar atau Jurutera Profesional Dengan Perakuan Amalan.

“Aspek ekonomi dan kemampanan merupakan perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan MTN-80 di Putrajaya, semalam.

Jelas Perdana Menteri, MTN-80 ialah wadah bagi kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan kerajaan negeri.

“Ia melibatkan hal ehwal berkaitan dasar yang menyentuh tata kelola pentadbiran tanah yang konklusif, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Aspek ekonomi dan kemampanan merupakan perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah.

“Ia penting bagi memulihara khazanah untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Related Articles

Back to top button