Semasa

Pengeluar setuju tambah 23,000 tan metrik beras dalam pasaran, atasi isu kekurangan bekalan

Pengilang beras bersetuju meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memenuhi keperluan pengguna.

Kementerian kementerian pertanian dan keterjaminan makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, persetujuan dicapai melalui perbincangan dalam sesi libat urus bersama pemain industri yang diadakan.

Dalam sesi libat urus itu pengeluar bukan hanya akan menambah bekalan 23,000 tan metrik sebulan untuk pasaran dalam tempoh setahun, malah pihak pemborong dan peruncit yang turut memberikan komitmen untuk merealisasikan pelaksanaan di bawah Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara.

“Langkah intervensi ini bertujuan bagi memastikan bekalan BPT dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan BPT di pasaran.

“Dalam masa sama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut dilibatkan bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya,” kata kenyataan kementerian.

Difahamkan, PKBPT sedang dilaksanakan melalui dua fasa bermula pada 8 September lalu dan 15 September ini.

KPKM sebelum ini telah mengadakan beberapa sesi libat urus bagi membincangkan isu bekalan beras di pasaran, ia antaranya pada 20 Julai lalu yang melibatkan pasar raya, termasuk pengilang padi dan pemborong beras pada 28 Ogos lepas serta Sesi Dialog Belanjawan 2024 Subsektor Padi dan Beras Negara pada 7 September lalu.

Turut bersama ialah lima pemborong beras utama serta 11 pasar raya bertaraf hypermarket yang mempunyai rangkaian di seluruh negara.

Kementerian turut memaklumkan, pemantauan dan penguatkuasaan keseluruhan rantaian PKBPT ini akan dilakukan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dengan kolaborasi strategik OP JAMIN bersama Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Related Articles

Back to top button