Jaduan padat menanti lawatan rasmi PM ke Nanning
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengadakan lawatan ke Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China hari ini.
Konsul Jeneral di Nanning, Ahmad Phadil Ismail berkata, pada lawatan kerja bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 itu, Anwar bakal bertemu dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Li Qiang selepas lawatan sulung Anwar ke China pada Mac lalu.
“Mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua pemimpin membuat susulan berhubung perbincangan terakhir mereka,” katanya dipetik.
Pada Mac lalu, Anwar telah mengadakan lawatan sulung ke China di mana beliau berkunjung ke Beijing dan Hainan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 yang menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Sementara itu Ahmad Phadil turut memberitahu, perdana menteri dijadualkan akan menghadiri beberapa program penting antaranya mengadakan sesi libat urus bersama gergasi korporat China.
Anwar dijadual berucap pada majlis perasmian CAEXPO dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) bersama Li serta pemimpin ASEAN lain termasuk dari Vietnam, Laos dan Vietnam.
Perdana Menteri juga akan merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO.
CAEXPO adalah antara pameran antarabangsa terbesar anjuran bersama China dan ASEAN yang berfungsi sebagai platform penting untuk ahli perniagaan serta perusahaan dari rantau ASEAN dan China bagi meneroka sinergi perniagaan selain mempromosi produk keluaran mereka dalam kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.
Difahamkan, sebanyak 107 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor akan menyertai expo itu di bawah Astaka Malaysia yang diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin serta para pegawai kanan kerajaan.