Negeri

KKM kenal pasti tapak cadangan bina Pusat Kanser Sarawak

Lokasi pembinaan Pusat Kanser Sarawak di negeri itu sudah dikenal pasti dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secepat mungkin.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan pusat itu telah lama diperbincangkan, kementerian dan kerajaan negeri juga jelasnya sudah melaksana kerja-kerja di lapangan berhubung cadangan pembinaan itu bagi memudahkan projek diteruskan sebaik mendapat kelulusan jemaah menteri.

“Kalau semua cadangan ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak melibatkan kerajaan persekutuan dan juga negeri, barulah kerja-kerja untuk pembinaannya akan memudahkan kita untuk meneruskan projek ini,” katanya.

Dr Zaliha ditemui media pada lawatannya di tinjauan cadangan tapak projek Pusat Kanser Sarawak, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan pada Sabtu.

Terdahulu pada Januari, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan negeri itu bersedia membina sebuah pusat kanser menggunakan dana kerajaan negeri menjelang akhir tahun ini sekiranya diberi persetujuan oleh kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan kos sekitar RM800 juta bagi tujuan pembinaan fasiliti meliputi kawasan seluas 20 ekar yang akan ditempatkan di sebelah Pusat Jantung, Sarawak itu, manakala kerajaan Persekutuan pula akan menyediakan tenaga pakar dan peralatan untuk pengoperasian.

Dengan adanya pusat kanser itu, ia bakal menyumbang kepada penjagaan kesihatan rakyat Sarawak dan memenuhi keperluan pesakit kanser dari Sabah dan negara jiran Kalimantan Barat, Indonesia.

Related Articles

Back to top button