Nasional

Usah cabar undang-undang, anjur perhimpunan tanpa kelulusan – Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar undang-undang negara dengan menganjurkan perhimpunan tanpa kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau mengulas berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia yang berarak lebih dua kilometer dari Kampung Baru ke pusat beli belah Sogo, di ibu negara pada Sabtu.

“Ada pihak menyatakan di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan hak asasi berhimpun memang ada tetapi kena juga artikel 10 (2) yang mana setiap kebebasan untuk berhimpun ada batas-batasnya perlu dipatuhi.

“Kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan dan ketenteraman awam, itu kena jelas sebab polis tidak akan bertolak ansur. Jangan jadikan itu alasan untuk melanggar undang-undang. Undang-undang dibuat untuk dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob turut menyatakan, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti 25 individu yang terlibat dalam perhimpunan itu, mereka adalah termasuk 16 individu yang berucap pada perhimpunan itu.

Katanya, pihaknya telah menghubungi 22 individu setakat ini dan enam daripada mereka menyatakan akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

“Enam, setakat ini memang yang terlibat sekali memang ada seorang yang berhormat (YB) dalam itu yang setuju untuk memberi keterangan esok. YB ada seorang, penggerak utama dia (berpangkat) Datuk pun ada seorang, maka kita akan hubungi,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Serta Seksyen 4(2)b mengadakan perhimpunan larangan di masjid dan Seksyen 4(2)e membawa kanak-kanak bagi menyertai perhimpunan.

Related Articles

Back to top button