Anwar

PM Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB di New York

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, bermula esok hingga 23 September 2023.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Nazri Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Ahmad Faisal Muhamad.

Ini merupakan penampilan sulung Perdana Menteri di pentas PBB sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Anwar dijadual menyampaikan kenyataan negara semasa sesi Debat Umum pada 22 September 2023.

Zambry berkata, tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini ialah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all”.

Setakat ini terdapat 99 Ketua Negara, 58 Ketua Kerajaan dan 35 Menteri yang dijangka akan menyampaikan kenyataan negara masing-masing semasa sesi Debat Umum yang akan bermula pada 19 sehingga 26 September 2023.

Anwar dijangka berucap di sesi Debat Umum pada pagi Jumaat, pukul 10 pagi (waktu tempatan New York) (10 malam waktu Malaysia).

Selari dengan tema UNGA ke-78, Perdana Menteri akan berkongsi usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Agenda 2030.

Beliau juga akan memberi pandangan mengenai isu-isu global dan peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat antarabangsa dalam mengatasi pelbagai cabaran bersama.

Pada 21 September 2023, Datuk Seri Anwar dijadualkan untuk menyertai Perbincangan Meja Buat bersama Syarikat-Syarikat Fortune 500 dan sesi libat urus bersama Invest Malaysia New York.

Beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama usahawan dan pelabur baru yang berpotensi seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International, dan Procter & Gamble (P&G) dari Amerika Syarikat semasa kedua-dua sesi libat urus.

Pada hari yang sama, Datuk Seri Anwar juga akan mengadakan sesi perbincangan bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR), di mana beliau dijangka akan membincangkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat, kesan persaingan Amerika Syarikat-China kepada Malaysia dan kepentingan diplomasi Malaysia di Asia Tenggara, di Pejabat CFR di New York.

Selain itu, Perdana Menteri akan mengadakan enam mesyuarat hubungan dua hala di sela-sela sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB untuk membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin dari Türkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand, Iraq dan Extractive Industries Transparency Institute (EITI).

Perdana Menteri juga akan menghoskan resepsi makan malam bersama diaspora Malaysia di New York pada 22 September.

Related Articles

Back to top button