UMNO gesa Radzi Jidin disiasat susulan dakwaan terbabit rasuah
UMNO Wilayah Persekutuan memfailkan laporan bagi mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya menerima dua mesej tular di WhatsApp dua hari lalu mengaitkan Ahli Parlimen Putrajaya itu terlibat dengan rasuah membabitkan pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.
Justeru pihaknya mahu SPRM menyiasat dakwaan itu dan mengesahkan sama ada mesej tular berkait skandal dan penyelewengan itu benar-benar wujud atau sebaliknya
Sementara itu ketika mengulas mengenai dakwaan yang tular itu Ghulam menjelaskan, mesej pertama mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Dato Chia yang didakwa membolot projek selenggara sekolah.
“Kami difahamkan individu ini juga adalah kartel dan modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus daripada Kementerian Pendidikan tanpa melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Dakwaan ini menjadi satu polemik dan kita ingin buat laporan atas dasar kebenaran dan isi kandungan yang ditularkan itu,” katanya
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, di dalam mesej kedua pula Mohd Radzi didakwa bersetuju meluluskan projek rundingan terus pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah kepada seorang individu bergelar Tengku.
Menurutnya, pihaknya turut membuat carian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat yang dinamakan dalam mesej terbabit wujud.
“Semakan pemilik syarikat pun turut mendapati nama ‘Tengku’ terbabit turut tersenarai. Kami juga difahamkan isteri Radzi bertindak sebagai proksi kerabat raja bergelar Tengku berkenaan.
“Jadi kami minta supaya SPRM dapat membuat siasatan lanjut tentang isu dan isi kandungan kedua-dua mesej tular itu,” katanya. ketika ditemui di bangunan SPRM Putrajaya.