Semasa

Kerajaan jimat RM4 bilion selepas hentikan subsidi penuh kepada syarikat-syarikat mega

Kerajaan berjaya melakukan penjimatan membabitkan subsidi elektrik kira-kira RM4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong dipetik laporan Bernama berkata, ia hasil dari langkah kerajaan yang tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi mulai tahun ini.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan masih menanggung subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal RM14.9 bilion.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan adalah menjadi keutamaan, dalam memastikan perbelanjaan kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara.

“Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan dengan mengenal pasti kaedah yang bukan sahaja berkesan, malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan yang paling minimum kepada kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen pada Isnin.

Sementara itu, Chee Keong berkata dalam konteks menentukan penerima subsidi yang layak juga perlu dipelbagaikan kerana jenis subsidi dan golongan pengguna adalah berbeza.

“Penetapan kriteria kelayakan masih dalam penilaian kerana amatlah penting ia dikaji dengan teliti agar agihan sumber dibuat dengan lebih cekap dalam masa yang sama mengurangkan kesilapan ‘exclusion’ dan ‘inclusion’.

“Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas yang telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar bersesuaian yang melibatkan semua kumpulan masyarakat baik B40, M40 mahupun T20, sama ada di bandar atau kawasan luar bandar,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button