Semasa

Langkah intervensi tambahan dilaksana atasi isu beras dalam negara

Kerajaan telah bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Menteri Pasaran dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara langkah tersebut termasuk menyerap harga beras putih import (BPI) bagi menangani masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT).

Kerajaan juga menurutnya, akan menumpukan pemerkasaan edaran BPT menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.

“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya.

Sementara itu perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan BPI. Ini bermaksud semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi memberi keutamaan pembekalan BPT kepada rakyat.

Kerajaan turut akan melancarkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi BPT (Op BPT) yang melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang akan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di kesemua peringkat rantaian pembekalan BPT.

Difahamkan juga bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.

Semua langkah intervensi itu juga jelasnya sudah dipersetujui Perdana Menteri dalam pertemuan yang diadakan bersama beliau.

Sementara itu Mohammad Sabu sekali lagi mengulangi gesaan supaya orang ramai tidak membuat pembelian panik sebaliknya membeli seperti biasa dan mengikut keperluan.

Related Articles

Back to top button