KEADILAN tekad muhasabah diri, terima kekalahan – Izzah

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebagai tekad untuk bermuhasabah diri.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, meskipun kalah, parti itu akan terus berusaha melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.
“Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.
“Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Perpaduan di Bilik Gerakan Utama di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.
Nurul Izzah, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan undi kepada parti itu.
“Tidak dilupakan pasukan jentera PH dan Barisan Nasional yang telah bertungkus-lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Beliau berkata, meskipun menghormati pilihan rakyat Sungai Bakap pada PRK kali ini, namun pihaknya kecewa dengan serangan berbaur perkauman sempit dan fitnah jahat yang digunakan oleh pihak pembangkang untuk mempengaruhi sentimen dalam PRK Sungai Bakap.
Katanya, adalah mengecewakan apabila Perikatan Nasional (PN) menggunakan taktik sebegitu untuk mempengaruhi pengundi.
“Bagaimanapun kita mesti berusaha untuk mengembalikan perbahasan, sesi maklumat dan usaha yang berfokus kepada isu-isu teras seperti kebajikan awam, pendidikan anak-anak serta pembangunan infrastruktur dan memastikan pembangunan seimbang antara kawasan Pulau dan Seberang Perai.
“Keputusan yang dibuat oleh pengundi dihormati. Kami menyambut cabaran tersebut. Kita kini mesti mengemudi untuk memastikan kita membuat perubahan yang diperlukan demi kebaikan rakyat,” katanya.