ASEAN bakal utamakan bekalan makanan negara anggota
Menteri-menteri pertanian negara ASEAN memberi jaminan untuk mengutamakan negara anggota dalam bekalan makanan, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad yang juga Menteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, jaminan itu diberikan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 yang diadakan di Kuala Lumpur.
“Kita bincang mengenai keselamatan makanan, misalnya dalam negara ASEAN ini kalau berlaku kekurangan kita harap negara ASEAN lain dapat menampung dengan cepat.
“Kita kalau dengan Thailand, (bekalan) beras dan ayam yang selalunya boleh dapat dengan cepat kerana kedudukan yang dekat.
“Beras pun begitu, menterinya berkata, selagi ada keupayaan mereka akan jual kepada Malaysia. Vietnam pun sama iaitu mereka akan utamakan ASEAN terlebih dahulu,” jelasnya kepada pemberita mengadakan lawatan bersama menteri-menteri pertanian ASEAN ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) pada Khamis.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin sebelumnya pada Rabu berkata Malaysia berharap negara pengeksport utama beras dalam ASEAN, dapat mengutamakan bekalan makanan ruji itu kepada negara anggotanya.
Foong Hin berkata, saranan itu akan dibawa Malaysia dalam sesi perbincangan dua hala sempena AMAF.