Negeri

Kerajaan Pulau Pinang tak benarkan Rumah Mampu Milik kos rendah disewakan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan Rumah Mampu Milik (RMM) kos rendah dan sederhana (RMMA dan RMMB) dinegeri itu disewakan sama ada kepada warga asing atau tempatan.

Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata, langkah itu diputuskan memandangkan terdapat keperluan untuk mengawal ketat rumah kos rendah dan sederhana yang telah mendapat subsidi kerajaan daripada disalahgunakan termasuk disewakan atau dijadikan asrama pekerja.

“Penting kepada pihak berkuasa untuk lebih ketat dalam mengawal unit-unit bersubsidi tinggi seperti rumah RMMA dan RMMB daripada disalah guna termasuk disewakan, malah dijadikan asrama pekerja.

“Adakah kita akan membenarkan begitu ramai warga asing (pekerja asing) tinggal dalam kalangan kita? Itu tidak sihat,

“Itu bukan tujuan kami membina unit kos rendah dan sederhana” katanya yang mendakwa ada dalam kalangan pemilik rumah kos rendah dan sederhana menyewakan rumah atau unit kediaman mereka kepada kilang dengan kadar RM1,000 sebulan dan mencari tempat tinggal lain dengan bayaran RM500 sebulan.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Negeri-negeri 2023 di George Town turut menegaskan, langkah pemulihan atau pemutihan perlu dilakukan terhadap unit yang telah lama dijadikan asrama pekerja agar lebih teratur dan terkawal selain pada masa sama isu legasi seperti semakan silang pemilikan hartanah antara negeri juga perlu diwujudkan untuk saringan yang lebih luas.

Related Articles

Back to top button