Semasa

Kerajaan komited pastikan industri getah terus mampan

Kerajaan Persekutuan terus komited untuk memastikan industri getah Malaysia dapat memenuhi keperluan kemampanan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru tambahnya, kementerian secara kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah memulakan beberapa inisiatif pembangunan mampan dalam rantaian nilai industri.
Antara inisiatif tersebut ialah Kemampanan Getah Asli Malaysia (MSNR) yang membentuk asas kerangka kemampanan Malaysia bagi getah asli di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996.

“Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dengan negara pengeluar getah utama melalui platform antarabangsa, memastikan kedua-dua kos pengeluaran dan faktor kemampanan diambil kira dalam perdagangan getah.

“Ini penting dalam menangani isu berterusan ketidaktentuan harga getah global yang memberikan kesan terhadap pendapatan pekebun kecil getah,” katanya.

Fadillah berkata begitu pada ucapan di majlis Makan Malam Malaysian Rubber Exchange (MRE) di Kuala Lumpur malam tadi.

Sementara itu beliau turut berkata, kerajaan juga terus komited untuk menyediakan rangka kerja yang diperlukan dan sokongan ekosistem untuk industri meneroka pasaran baharu bagi getah dan produk getah.
“Saya yakin MRE akan terus memperjuangkan perdagangan dan industri getah Malaysia di peringkat global,” katanya

Pada 2022 eksport industri getah Malaysia mencecah RM36 bilion, membentuk 2.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport tahun itu.

Related Articles

Back to top button