Semasa

Ahmad Zahid saran modul literasi kewangan dimasukkan dalam PKLN 3.0

Timbalan Perdana Menteri menyarankan agar modul literasi kewangan dimasukkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 .

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas merasmikan penutup Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 anjuran i-LEAD di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam pada Selasa berkata, langkah itu sebagai persediaan awal generasi muda menghadapi cabaran masa hadapan termasuk berkenaan pembelian dalam talian, penawaran kad kredit dan pembelian tanpa tunai

“Beberapa pendekatan mesti dilakukan agar kadar kebankrapan dapat ditangani di peringkat awal. Jika ini tidak dibuat maka dikhuatiri sebelum masuk ke pasaran guna tenaga, mereka terlebih dahulu mempunyai keberhutangan yang tinggi dan ini sangat tidak sihat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, modul itu dapat dilaksana kerjasama antara Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PLKN di bawah Kementerian Pertahanan.

Selain PLKN, institusi pendidikan lain termasuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kolej juga turut disaran menyediakan kursus berkenaan literasi kewangan.

Sementara itu, Menteri KBS, Hannah Yeoh yang turut serta dalam sidang media itu berkata, kementeriannya melalui i-LEAD kini menumpukan kepada pembangunan sosioekonomi belia dan isu kebankrapan dalam kalangan belia dengan membantu mereka menyedari dan mendapatkan kemahiran untuk berbelanja secara berhemah.

“Pada tahun ini, sembilan orang di bawah umur 25 tahun diisytihar bankrap manakala 419 orang di antara umur 25 hingga 34 tahun bankrap. Mereka ini tergolong dalam lingkungan umur belia yang rata-ratanya baru memulakan kehidupan dan kerjaya,” katanya.

Hannah turut memberitahu, sepanjang tahun lalu sebanyak 5,695 kes kebankrapan direkodkan dengan pinjaman peribadi merupakan punca terbesar yang menyumbang kepada 46.8 peratus daripada punca-punca kebankrapan lain seperti pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan, sewa beli dan kad kredit.

Related Articles

Back to top button