Semasa

Perdana Menteri ulangi pendirian, Malaysia bersama rakyat Palestin

Rakyat Malaysia akan terus dan tetap menyokong perjuangan rakyat Palestin, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar mengulangi pendirian itu yang dikongsi bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu pertemuan di Parlimen pada Selasa.

“Saya turut berkongsi usaha kerajaan dalam mengadakan perbincangan dengan pemimpin dunia Islam bagi mencari solusi terbaik untuk meredakan ketegangan di Palestin sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dibawa masuk,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Antara NGO yang hadir pada pertemuan itu antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), Cinta Syria Malaysia (CSM) dan Global Peace Mission (GPM)

Pada pertemuan itu, wakil NGO terbabit turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Himpunan Mega Sejuta Ummah Pembela Palestin bagi mengumpul dana dan mengangkat suara rakyat negara tersebut yang ditindas Zionis tanpa henti di Gaza.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan dana RM1 juta serta-merta kepada tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kendalian Kementerian Luar susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Anwar dalam kenyataan sebelum ini menegaskan masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman serta penindasan terhadap rakyat Palestin, termasuk rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin yang dilakukan rejim Zionis tanpa henti.

Related Articles

Back to top button