Nasional

Belanjawan 2024 sokong pelaksanaan inisiatif dan program kerajaan – Para Menteri

Belanjawan 2024 Malaysia Madani mampu menyokong pelaksanaan inisiatif dan program yang direncanakan kerajaan melalui pelbagai kementerian secara inklusif.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan RM6.17 bilion diterima Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mampu mengukuhkan fungsinya dalam mendepani cabaran isu-isu semasa dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM5.39 bilion pada 2023 membantu KPKM memacu sektor agromakanan yang berfokus kepada agenda pemodenan dan kelestarian aktiviti pertanian serta pengukuhan infrastruktur pertanian.

Selain itu, peruntukan itu membantu pembangunan rantaian nilai agromakanan secara holistik serta pemerkasaan agenda kebajikan petani, nelayan, penternak dan pesawah di samping fokus utama untuk memastikan keterjaminan makanan kepada semua rakyat.

“Bagi mendepani agenda keterjaminan makanan, KPKM akan melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2024 secara cekap, berhemat serta efisien bagi memastikan golongan sasar yang telah dikenal pasti mendapat manfaat segera daripada pengumuman ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan RM19.7 bilion kepada kementeriannya akan meningkatkan iltizam anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau menerusi catatan di Facebook berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan Belanjawan 2024 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan memulakan proses perolehan aset baharu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan negara antaranya perolehan 12 buah helikopter baharu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya komited menjadikan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai ‘Penggerak Masyarakat Progresif’ yang dapat memberi manfaat terus kepada komuniti.

“Tumpuan diberikan kepada lapan aspek yang perlu diterap dan diperkukuhkan dalam komuniti iaitu keselamatan komuniti, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan komuniti serta warisan dan budaya,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Perpaduan Negara menerima peruntukan keseluruhan lebih RM635.82 juta termasuk RM20 juta untuk memperkasa peranan KRT sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan rakyat dan penyebaran maklumat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, menghargai keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar yang terancam, menerusi peruntukan RM200 juta untuk Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).

Katanya, NRECC turut menyambut baik hasrat kerajaan bagi mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti hingga RM1 bilion bagi menjana kredit karbon hutan melalui usaha sama dengan kerajaan negeri.

Selain itu, beliau berkata NRECC menyokong ikrar kerajaan bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih terutamanya di Kelantan, Sabah dan Labuan melalui peruntukan berjumlah RM1.1 bilion.

“Langkah penyelesaian ini merangkumi bagi negeri Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari, penggantian paip simen asbestos bagi mengurangkan kadar kehilangan air terawat serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan akan memanfaatkan peruntukan lebih RM16.33 bilion untuk meneruskan Agenda Ekonomi Madani KPT.

Menurut KPT, peningkatan keseluruhan peruntukan sebanyak 6.8 peratus berbanding tahun 2023 menggambarkan peranan penting kementerian itu sebagai pemangkin kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat Melalui Bidang Pendidikan Tinggi.

“KPT akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong aspirasi Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat,” menurut kementerian itu.

Perdana Menteri antara lain mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua Universiti Awam bagi meneruskan agenda pendigitalan pendidikan tinggi serta peruntukan awal RM20 juta untuk penubuhan pusat pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara. – Bernama

Related Articles

Back to top button