Nasional

Belanjawan 2024: RM788.13 juta diperuntuk khusus untuk Bantuan Awal Persekolahan – KPM

Sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, diperuntukkan khusus untuk tujuan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), demikian menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara ‘one-off’ (sekali bayar) yang akan disalurkan bermula Januari 2024, memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

“Bayaran akan disalurkan melalui sekolah dan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing,” menurut kenyataan itu susulan kebimbangan sesetengah pihak mengenai ketiadaan BAP dalam pengumuman Belanjawan 2024 seperti dilaporkan media.

KPM menjelaskan BAP dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web khas https://belanjawan.mof.gov.my/ms/ bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung Belanjawan 2024. – Bernama

Related Articles

Back to top button