Kanak-kanak generasi kini berdepan cabaran berbeza- Dr Wan Azizah
Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berharap persatuan itu dapat memain peranan membantu kanak-kanak perempuan membina daya tahan diri.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Makan Tengah Sambutan Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa (IDG), sempena Persidangan Olave Baden-Powell Society (OB-PS) Malaysia 2023 di Kuala Lumpur berkata, golongan itu kni berdepan tekanan dan cabaran membesar dalam dunia serba mencabar hari ini.
Jelasnya, sebagai seorang ibu dan nenek, beliau menyedari cabaran yang dihadapi golongan itu hari ini yang sangat berbeza dengan apa yang dialaminya dahulu.
Tambah isteri Perdana Menteri itu, dengan kemunculan media sosial golongan itu berdepan dengan kelakuan buli, yang kini tidak hanya wujud dalam dunia fizikal malah dalam dunia maya.
Selain itu jelasnya, terdapat juga pemangsa seksual dalam talian serta ‘grooming’ atau antun seksual, selain scammer atau penipu yang menyasarkan kanak-kanak.
“Kerana itu, PPPM berharap untuk memperkasa kanak-kanak perempuan supaya menjadi lebih kuat dan lebih berdaya tahan. Kami mahu membentuk mereka menjadi pemimpin, tidak mengalah kepada pembuli, pemangsa dan ugutan, serta sentiasa dilengkapi (dengan ilmu) untuk berdepan cabaran.
“Ini telah menjadi sebahagian daripada undang-undang Guiding kami, dengan harapan kanak-kanak perempuan ini dapat membezakan peluang daripada bahaya dan dapat memanfaatkannya (peluang itu),” katanya pada majlis tersebut.
Bertemakan #PreparedToChangeTheWorld#, sambutan IDG bertujuan menyeru semua pihak termasuk Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGSS) untuk memperkasa kanak-kanak perempuan dan gadis dengan daya tahan bagi mempimpin perubahan bermakna dalam masyarakat.
Turut hadir pada majlis yang diadakan semalam adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga penaung PPPM selain Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng dan Pengerusi OB-PS Susan Campbell.
Sementara itu, persidangan tahunan OB-PS pula bertujuan mengumpulkan anggotanya dengan minat yang sama untuk menyediakan sokongan kewangan kepada WAGGGS dan memastikan pendapatan yang berterusan bagi membiayai kerja, projek, program dan perkhidmatannnya.
Persidangan tahunan itu, bermula 12-16 Okt, pertama kali diadakan di Malaysia sejak 1998 dan mengumpulkan lebih 360 peserta daripada 17 negara termasuk United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Nigeria dan Jepun.