Semasa

KKM tak teragak-agak bertindak terhadap pihak buli warga sektor kesihatan – Dr Zaliha

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menegaskan kementeriannya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melakukan buli dalam kalangan warga kerjanya.

Mengulas tinjauan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkenaan kes buli yang melibatkan pengamal perubatan sektor awam dan swasta di Malaysia, Dr Zaliha berkata, pihak kementerian mengambil maklum perkara itu.

Kementerian jelasnya telah melaksanakan sistem MyHELP yang merupakan satu platform khas bagi melaporkan isu-isu buli yang berlaku di KKM.

Beliau turut menyeru agar kalangan warga kerja sektor kesihatan yang menjadi mangsa pembulian agar membuat aduan.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua petugas kesihatan untuk melaporkan aduan mereka melalui sistem aduan tersebut yang sememangnya telus dan mempunyai tahap kerahsiaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sikijang berkata, Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang telah ditubuhkan sentiasa mengadakan libat urus dengan pihak KKM dalam memastikan kesihatan mental dan kebajikan warganya sentiasa terpelihara agar insiden seperti buli dapat ditangani.

Hasil kajian MMA yang didedahkan pada 15 Okt lalu mendapati 30 hingga 40 peratus doktor di negara ini menjadi mangsa buli.

Kajian dilaksanakan antara 15 Sept hingga 1 Okt lepas turut mendapati mangsa buli tidak membuat aduan kerana takut atau tidak tahu bagaimana mengadu, malah tiada tindakan diambil terhadap kes yang merekodkan aduan.

Related Articles

Back to top button