Semasa

Tebatan banjir : tiada diskriminasi terhadap mana-mana negeri – Nik Nazmi

Tiada diskriminasi terhadap mana-mana negeri dalam melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), tegas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC)

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mana-mana negeri yang didapati berdepan risiko berlakunya banjir besar akan diberi keutamaan bagi projek tersebut.

“Kita tak diskrimasi ikut negeri tetapi kita ikut keperluan negeri tersebut dan memang ada keperluan di sesetengah tempat perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Jadi penilaian peringkat kerajaan ialah berdasarkan itu dan projek-projek berkeutamaan tinggi ini ada di pelbagai negeri,” katanya.

Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas melawat projek memulihkan saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik di Seremban pada Rabu.

Mengulas projek RTB di Negeri Sembilan, Nik Nazmi berkata kerajaan akan melaksana tiga projek berkeutamaan tinggi iaitu RTB Sungai Jelai di Kuala Pilah, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi Fasa 5 dan RTB Sungai Golok di Port Dickson.

“Untuk projek RTB di Negeri Sembilan, keseluruhannya melibatkan peruntukan RM200 juta dan kita juga ada projek berkeutamaan tinggi yang kita percepatkan proses perolehannya supaya dapat selesaikan isu banjir yang berlaku.

“Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan,”jelasnya.

Selain itu beliau turut memaklumkan, sebanyak 101 kerja-kerja kecemasan di luar jangka yang melibatkan pelbagai daerah akan dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan tersebut.

“Sebanyak 42 kerja telah siap dilaksanakan, manakala 22 dalam pembinaan dan 37 lagi dalam proses perolehan,” katanya.

Mengenai projek memulihkan saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik pula Nik Nazmi berkata, ia melibatkan peruntukan pembangunan Persekutuan berjumlah RM730,600.

“Kerja-kerja memulihkan tebing Sungai Simin sepanjang 55 meter dan pembaikan longkang outlet tersebut telah bermula pada 3 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 Disember ini,” tambah Nik Nazmi.

Related Articles

Back to top button